Anak pijak, pukul ibu kerana enggan beri RM20
TANAH MERAH – Akibat enggan menuruti permintaan anaknya yang mahukan RM20 untuk membeli dadah, seorang wanita berusia 65 tahun mengalami kecederaan akibat dipijak dan dan dipukul.
Ketua Polis Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah berkata, dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin itu, mangsa mengalami bengkak di kepala, dahi dan juga mata serta sakit pada bahagian badan.
Mohd Haki menambah, suspek yang juga bekas anggota tentera berusia 32 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada abangnya pada petang hari kejadian.
Beliau berkata, laporan itu dibuat selepas abang suspek menerima satu rakaman video daripada abang iparnya mengenai kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah di mana suspek disyaki bertindak memijak muka dan memukul ibunya kerana gagal menunaikan permintaan mendapatkan RM20 untuk membeli dadah.
“Suspek yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya lagi, suspek mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang seperti diminta dan dia telah direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







