
Kes letupan: Pasangan suami isteri ditahan selepas PDRM temukan bahan membuat bom
AMPANG – Pasangan suami isteri yang dikategori sebagai suspek kes letupan yang membunuh seorang tukang masak di Pandan Indah ditahan selepas pihak polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di sebuah rumah di Serdang, Kedah.
Laporan Sinar Harian yang memetik satu sumber berkata, dalam serbuan itu, pihak polis menemukan beberapa bahan dipercayai digunakan untuk membuat bom.
“Penemuan beberapa bahan ini sekali gus menjadi petunjuk suspek disyaki terbabit dalam kejadian letupan terbabit,” kata sumber tersebut hari ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek diberkas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Serbuan dijalankan kira-kira jam 7.20 petang di sebuah taman perumahan, Serdang, Kedah.
“Perintah tahanan reman telah dipohon dan pihak Majistret telah membenarkan tahanan reman terhadap pasangan ini selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 29 Disember lalu, mangsa, seorang tukang masak berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.
Setakat ini, kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.
Siasatan awal mendapati, mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.
Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang. Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.
Polis turut menemukan beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan berhampiran lokasi kejadian tetapi masih menyiasat perkara berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








