Jenayah & Mahkamah

‘Thai Hot Guy’ dibatalkan serta merta – PDRM

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan program ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac depan dibatalkan serta merta.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sudah memberi amaran keras kepada penganjur berkenaan supaya program itu tidak diteruskan dan dibatalkan.

“(Berikutan itu) Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program berkenaan dan tiada sebarang aktiviti (seperti) yang tular sebelum ini akan diadakan.

“Polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang,” kata Ashari dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau menambah, keputusan membatalkan program itu dicapai dalam pertemuan antara penganjur dan IPD Wangsa Maju, petang tadi.

Keputusan itu dibuat susulan pelbagai kecaman dan reaksi diterima daripada seluruh lapisan masyarakat berhubung acara itu.

“Promosi berkaitan program hiburan ini menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman daripada pelbagai pihak dan semakan sehingga pukul 4 petang tadi mendapati, sebanyak 60 laporan polis diterima bagi membantah penganjuran program berkenaan.

“Polis peka mengenai penganjuran program menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

Show More

Related Articles

Back to top button